Wednesday, October 8, 2008

Perspektif Ikim: Keharusan berhutang menurut syarak

Oleh Muhammad Hisyam Mohamad


Islam larang meminjam untuk riak, hidup di luar kemampuan diri

PENULIS Jon Hanson dalam bukunya Good Debt, Bad Debt mengibaratkan hutang sebagai kolesterol. Seperti kolesterol, hutang jika terlalu banyak boleh mendatangkan masalah kepada individu, malah boleh membunuh.

Secara kasar apa yang dinyatakan penulis ini ada kebenarannya. Kes jenayah berkaitan kegiatan along seperti ugutan, bunuh diri dan sebagainya adalah antara kesan buruk yang timbul akibat tabiat suka berhutang.

Ia tidak termasuk kes mereka yang diisytiharkan muflis kerana gagal melunaskan hutang di institusi kewangan dan perbankan.

Memang tidak dinafikan, ada kalanya kita perlu berhutang. Kebanyakan kita membeli rumah atau kereta secara pinjaman. Begitu juga pembiayaan pendidikan atau modal perniagaan. Jadi, berhutang untuk tujuan itu menjadi satu kebiasaan dalam masyarakat kita.

Penulis berpendapat ia bukanlah sesuatu yang tidak baik kerana rumah, pendidikan, kenderaan dan perniagaan (pekerjaan) yang berdaya saing adalah keperluan utama manusia.

Apabila kita berhutang untuk perkara tidak perlu atau untuk tujuan yang tidak mendatangkan manfaat, kita sebenarnya menjerumuskan diri ke dalam satu kemelut kehidupan.

Kemelut ini ada kaitan dengan masalah kebebasan dan masa. Orang yang dibebani hutang akan hilang kebebasan kerana jika dia bekerja, pendapatan yang diperoleh terpaksa digunakan untuk membayar hutang.

Oleh itu, dia hilang kebebasan menggunakan wang tadi bagi melakukan apa yang diingininya. Ibarat seorang banduan yang menjalani program pelepasan kerja penjara (prison work release program), orang yang berhutang akan rasakan fikirannya terpenjara akibat bebanan kewangan tadi.

Selain hilang kebebasan, orang dibelenggu hutang juga hilang nikmat penggunaan masa untuk tujuan rehat, bersama keluarga dan sebagainya. Kebanyakan masanya akan dihabiskan untuk bekerja bagi membayar hutang.

Dalam Islam, tidak ada nas yang menyarankan kita supaya berhutang. Bagaimanapun, ada ayat al-Quran dan hadis menunjukkan bahawa tidak salah jika kita hendak berhutang.

Malah, dalam bab berhutang, Islam lebih dulu membuat garis panduan dan yang paling jelas ialah keperluan untuk menulis atau merekodkan hutang.

Persoalan berkenaan hutang ini sebenarnya berkait rapat dengan dua persoalan iaitu taraf ekonomi seseorang dan kedua corak perbelanjaan. Tidak semua manusia dilahirkan kaya, ada yang sederhana dan ada kurang bernasib baik.

Bagi yang kurang bernasib baik dan tiada pilihan boleh diambil, mungkin mereka terpaksa menggunakan pendekatan berhutang untuk memenuhi keperluan harian termasuk berhutang membeli keperluan asas membeli makanan, perubatan atau tujuan pendidikan.

Seterusnya kita boleh kaitkan keharusan untuk berhutang bagi memenuhi keperluan asas ini dengan tujuan perundangan (maqasid al-syariah) itu sendiri iaitu untuk menjaga maslahah atau kepentingan ummah.

Jika matlamat perundangan Islam dikaitkan dengan faham daruriyyat (keperluan asas), hajiyyat (keperluan biasa) dan tahsinat (perhiasan), maka dalam bab berkaitan tujuan berhutang, kita boleh kaitkan juga dengan fahaman ini.

Justeru, jika kita berhutang untuk memenuhi matlamat yang digariskan di bawah keperluan asas, penulis rasakan tidak ada sebab untuk kita menyatakannya sebagai sesuatu menyalahi agama.

Contohnya seseorang itu berhutang untuk tujuan perubatan atau pendidikan. Perubatan untuk menjaga nyawa dan pendidikan bertujuan memperkasakan akal. Kedua-dua ini dituntut oleh syarak.

Apa yang menjadi masalah sekarang, kes membabitkan jenayah along atau kes muflis ialah berhutang untuk tujuan kurang baik seperti berjudi, bergaya atau menunjuk-nunjuk.

Dengan kata lain, apabila kita berhutang tidak kena pada tempatnya atau berhutang untuk perkara tidak perlu, maka kita sebenarnya menempah kesusahan.

Kenyataan ini bertepatan dengan hadis diriwayatkan oleh Ahmad yang bermaksud: “Berhati-hati dengan hutang, sesungguhnya berhutang itu suatu kesedihan pada malam hari dan kerendahan diri (kehinaan) pada siang hari.”

Selain taraf ekonomi, tabiat berhutang juga ada hubung kait dengan cara kita berbelanja. Sebab itu kita disarankan berbelanja mengikut keperluan dan kemampuan bukannya mengikut perasaan.

Sebarang perbelanjaan perlu menjurus kepada dua matlamat utama iaitu berbelanja di jalan Allah (al-infaq fi sabilillah) seperti mengeluarkan perbelanjaan untuk zakat dan perbelanjaan untuk diri sendiri serta keluarga seperti perbelanjaan penyediaan makan, minum, tempat tinggal dan pendidikan.

Sebaik-baik corak perbelanjaan ialah bersederhana, iaitu tidak terlalu mewah dan tidak terlalu kedekut atau bakhil.

Di samping dua matlamat utama perbelanjaan, kita juga boleh menjadikan fahaman maslahah sebagai panduan berbelanja.

Fahaman ini ada kaitan dengan tujuan perundangan dalam Islam iaitu untuk menjaga agama, jiwa, keturunan, harta dan akal. Jadi, perbelanjaan yang baik ialah berbelanja untuk mencapai kelima-lima matlamat digariskan oleh syarak.

Penulis ialah Felo, Pusat Ekonomi dan Kajian Sosial, Institut Kefahaman Islam Malaysia

No comments: