Thursday, October 9, 2008

ISU PENUBUHAN PERBANKAN ISLAM DI MALAYSIA


Sepertimana diketahui, konsep sistem perbankan Islam mempunyai perbezaan yang amat ketara berbanding sistem perbankan konvensional. Malah perlaksanaan institusi perbankan Islam di Malaysia juga dikawalselia oleh dua akta iaitu Akta Bank Islam 1983 (ABI 1983) dan Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 (ABDIK 1989). Persoalan yang timbul kini ialah jika sekiranya sesebuah institusi perbankan atau kewangan itu ingin melaksanakan konsep perbankan Islam bagi operasinya, adakah ia tetap perlu memenuhi setiap syarat penubuhan sebuah perbankan Islam seperti yang telah ditetapkan oleh ABI 1983 atau ABDIK 1989 sahaja?


Jika diteliti ABI 1983, ternyata ia hanya mengehadkan pelesenan perbankan Islam kepada syarikat atau perbadanan (company) sahaja.[1] Seksyen 3(1) ABI 1983 secara jelas menyebut bahawa perniagaan bank Islam tidak boleh diuruskan di Malaysia melainkan oleh sebuah syarikat.[2] Perbadanan pula ditafsirkan oleh Seksyen 2 ABI 1983 sebagai “perbadanan mempunyai erti yang diberi kepadanya oleh Akta Syarikat 1965“. Oleh kerana itulah syarikat yang bukan di bawah Akta Syarikat 1965[3] tidak akan diberi lesen untuk beroperasi sebagai Bank Islam.


Hal ini menyebabkan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) tidak dibenarkan beroperasi seperti Bank Islam semata-mata kerana Bank Rakyat tertakluk kepada Akta Persatuan Koperasi 1993 dan Akta Bank Rakyat 1978.[4] Apa yang jelas, sememangnya Bank Rakyat sewajarnya diiktiraf sebagai Bank Islam kedua selepas Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) kerana telah berurusan mengikut konsep Syariah sejak tahun 1993 lagi.[5] Malah ia telah menjadi antara pemangkin sektor perbankan Islam yang utama dan terunggul di Malaysia.[6]


Malah hal ini turut telah diulas oleh seorang pakar kewangan Islam, Wan Abdul Rahim Kamil dengan katanya :


“Penubuhan Bank Muamalat sebagai bank Islam kedua adalah sangat mengejutkan kerana Bank Rakyat telah disangka untuk menyandang kedudukan tersebut. Tetapi mungkin cadangan itu harus dipinggirkan kerana Bank Rakyat adalah tertakluk kepada Akta Koperasi”[7]


Jelas bahawa meskipun kerangka perundangan di Malaysia memperuntukkan bahawa hanya dua sahaja akta yang mengawalselia institusi perbankan Islam di Malaysia iaitu ABI 1983 dan ABDIK 1989, namun terdapat juga status lain yang membolehkan perbankan Islam beroperasi tanpa melibatkan dua akta tersebut. Isu yang timbul ialah mengapa wujudnya ketidakseragaman ini? Sememangnya diketahui bahawa perlesenan perbankan Islam hanyalah kepada syarikat atau perbadanan sahaja.


Namun adalah wajar sekiranya perlesenan tersebut turut meliputi institusi lain yang tidak dianggap sebagai syarikat atau perbadanan misalnya seperti Bank Rakyat. Ini penting kerana dengan menyeragamkan kesemua institusi perbankan Islam, ini membolehkan segala proses pengawasan dan penyeliaan operasi dapat dikawal sepenuhnya khusus oleh Bank Negara Malaysia dan Majlis Penasihat Syariah Kebangsaan sahaja. Maka disebabkan itulah Bank Rakyat kini hanyalah dianggap sebagai bank yang mengamalkan konsep perbankan Islam sahaja dan bukanlah dianggap sebagai sebuah institusi perbankan Islam di Malaysia.

PERANAN BADAN PENASIHAT SYARIAH

Oleh: IBFIM

Artikel asal di:

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2007&dt=0430&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_03.htm

Masyarakat Islam memerlukan keyakinan bahawa makanan yang dimakan dan barang-barang yang mereka pakai adalah halal; ia tidak termasuk dalam anggapan bahawa memakan harta haram. Maka, di sini letaknya peranan badan-badan penasihat Syariah dalam industri perbankan Islam dan pasaran modal Islam untuk memberi keyakinan berkenaan kepada mereka.

Penubuhan Badan Penasihat Syariah (BPS)

Peruntukan Akta Bank Islam 1983, antara lain menetapkan bahawa penubuhan sebuah badan penasihat Syariah, sesebuah bank Islam perlu memenuhi syarat-syarat seperti berikut:

Perniagaan perbankan Islam hanya diuruskan oleh sebuah bank Islam yang berlesen. Sub-seksyen (5) dalam Akta yang sama menyatakan bahawa Bank Negara membuat saranan pemberian lesen dan Menteri juga tidak akan mengeluarkan lesen itu kecuali syarat-syarat berikut dipenuhi:

a) Tujuan-tujuan dan operasi-operasi perniagaan perbankan Islam yang hendak dijalankan (oleh syarikat yang memohon lesen untuk menjalankan perniagaan perbankan Islam) tidak terlibat dengan apa-apa unsur yang tidak diluluskan oleh agama Islam; dan

b) Di dalam Artikel Persatuan bank berkenaan, terdapat peruntukan bagi penubuhan sebuah badan penasihat Syariah yang menasihati bank itu mengenai operasi-operasi perniagaan perbankannya dalam memastikan ia tidak terlibat dengan apa-apa unsur yang tidak diluluskan oleh agama Islam.

Akta Takaful 1984 juga membuat peruntukan yang sama mengenai Badan Penasihat Syariah (BPS). Begitu juga artikel persatuannya. Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) adalah bank Islam pertama di Malaysia yang menubuhkan BPS-nya, iaitu selepas penubuhannya pada 1 Mac 1983. BIMB mula beroperasi pada 1 Julai 1983. Manakala Syarikat Takaful Malaysia Berhad (STMB) pula merupakan pengendali takaful yang mula-mula sekali yang menubuhkan BPS-nya. STMB diperbadankan pada 29 November 1984 dan seterusnya mula beroperasi pada 22 Julai 1985.

Tanggungjawab Orang Islam

Peruntukan-peruntukan di dalam Akta Bank Islam 1983 dan Akta Takaful 1984 mengenai BPS dan seterusnya penubuhan badan-badan itu dalam industri perbankan Islam dan takaful adalah bertepatan dengan ajaran Islam. Islam menyuruh penganutnya mengatur hidup dan aktiviti kehidupan mereka sebagai individu mahupun secara berkelompok mengikut ajaran dan kehendak Syariah.

Orang Islam adalah golongan yang bertanggungjawab kepada Allah s.w.t. dan komited, yakni mengabdikan diri mereka terhadap perlaksanaan Syariah-Nya. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah aqad-aqad (janji-janji).” (Al-Quran surah Al-Maidah, ayat 1)

Janji-janji yang bermaksud itu mencakupi janji prasetia hamba kepada Allah s.w.t. untuk melakukan segala perintah-Nya.

“Kemudian kamu pasti akan disoal pada hari itu (hari hisab) tentang segala nikmat yang kamu telah kecapi.” (Al-Quran surah Al-Takathur, ayat 8)

Keadaan umum orang Islam yang sebeginilah menjadi asas tegaknya segala amalan dan praktis dalam muamalat, yakni transaksi-transaksi dalam perniagaan dan perdagangan secara Islam. BPS yang dianggotai oleh orang yang bersifat sedemikian dengan kepakaran mereka dalam muamalat Islam, akan memastikan operasi bank-bank Islam dan pengendali-pengendali takaful meninggalkan semua unsur yang tidak diluluskan oleh Syariah dan mempraktik serta mengamalkan segala kehendak-Nya.

Operasi bank-bank Islam dan pengendali-pengendali takaful yang mengikut nasihat BPS akan menjadikan perniagaan mereka bersih daripada perkara-perkara yang tidak jelas, penindasan dan kezaliman yang akhirnya menuju ke arah memakan harta yang haram.

Tujuan syarat-syarat yang ditetapkan oleh Syariah dalam transaksi muamalat adalah mewujudkan keadilan dan keharmonian.

Kurang Pendedahan

Dalam beberapa tahun permulaan operasi perbankan Islam dan pengendalian takaful, yang ada hanyalah sebuah bank Islam dan sebuah syarikat takaful. Pada masa itu peranan BPS tidaklah luas dan perkara-perkara yang diberi perhatian dalam pengawasan tidaklah banyak seperti mana sekarang. Ahli-ahli BPS belum banyak terdedah kepada cara operasi serta masalah yang dihadapi oleh sektor perbankan Islam dan pengendali takaful.

Bermula pada akhir tahun 80-an ahli-ahli BPS sudah mula memahami tentang perjalanan perbankan Islam dan pengendalian takaful. Seterusnya di sekitar tahun 1993 Islamic windows atau kaunter-kaunter Skim Perbankan Tanpa Faedah dibuka. Maka peranan BPS pun ikut terbuka luas. Dari segi sejarahnya di sekitar tahun 1999 Sistem Perbankan Tanpa Faedah ditukar kepada perbankan Islam.

Perkembangan itu adalah hasil daripada fahaman yang semakin luas di kalangan orang Islam bahawa perbankan Islam itu bukanlah sekadar Sistem Perbankan Tanpa Faedah semata-mata. Bahkan ia melibatkan lebih banyak unsur yang tidak jelas dan tidak cukup rukun serta syarat dalam kontrak-kontrak muamalat yang dipakai.

Perkembangan Terkini

Semenjak tahun 2002 Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti mengeluarkan beberapa garis panduan yang menentukan peranan BPS secara khusus. Peranan baru itu merangkumi bidang yang luas selari dengan tahap perkembangan terkini dalam industri perbankan Islam dan takaful serta pasaran modal Islam yang tinggi pada hari ini.

Para pengamal dalam industri juga sudah mahu mengemukakan masalah mereka kepada BPS mereka secara lebih terbuka dan terperinci dan mereka pula mengharapkan penyelesaian kepada masalah-masalah yang dikemukakan itu.

Peranan

Kedudukan perbankan dan kewangan Islam masa kini hampir sama dengan kedudukan perbankan dan kewangan konvensional. Perbankan dan kewangan Islam mempunyai produk bagi hampir semua aktiviti perniagaan yang diharuskan oleh agama Islam.

Peranan BPS berkaitan dengan aktiviti-aktiviti yang berbagai itu bolehlah disenaraikan mengikut 11 jenis peranan utama yang dimainkan, iaitu:

  • Memberi nasihat kepada Lembaga-lembaga Pengarah (L-LP) Institusi-institusi Kewangan ( I-IK).
  • Mengesahkan Manual Patuh Syariah.
  • Mengesahkan Dokumen-dokumen yang Berkaitan.
  • Membantu Pihak-pihak Berkenaan dalam Hal-hal Syariah.
  • Memberi nasihat dalam Perkara-perkara yang Dirujukkan kepada Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia.
  • Memberi Pandangan Syariah yang Bertulis.
  • Membantu Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia apabila dirujuk untuk mendapat Nasihat.
  • Memberi nasihat tentang Bayaran Zakat.
  • Memberi nasihat tentang Audit Syariah.
  • Memberi nasihat tentang Produk-produk Pasaran Modal.
  • Memberi nasihat dalam Pengendalian Takaful.

Peranan BPS hari ini amat mencabar; pengamalan serta produk kewangan Islam yang sangat rumit hari ini betul-betul mencabar pakar-pakar Syariah untuk membuat keputusan yang betul. Semakin rumit dan canggih produk dan amalan kewangan Islam semakin mencabarlah peranan BPS. Tetapi walau bagaimana mencabar sekalipun peranan-peranan itu, mereka tetap bersedia menanganinya kerana di atas bahu merekalah terletaknya kepatuhan penuh Syariah segala produk, amalan dan perkhidmatan kewangan Islam.

Wednesday, October 8, 2008

Perspektif Ikim: Keharusan berhutang menurut syarak

Oleh Muhammad Hisyam Mohamad


Islam larang meminjam untuk riak, hidup di luar kemampuan diri

PENULIS Jon Hanson dalam bukunya Good Debt, Bad Debt mengibaratkan hutang sebagai kolesterol. Seperti kolesterol, hutang jika terlalu banyak boleh mendatangkan masalah kepada individu, malah boleh membunuh.

Secara kasar apa yang dinyatakan penulis ini ada kebenarannya. Kes jenayah berkaitan kegiatan along seperti ugutan, bunuh diri dan sebagainya adalah antara kesan buruk yang timbul akibat tabiat suka berhutang.

Ia tidak termasuk kes mereka yang diisytiharkan muflis kerana gagal melunaskan hutang di institusi kewangan dan perbankan.

Memang tidak dinafikan, ada kalanya kita perlu berhutang. Kebanyakan kita membeli rumah atau kereta secara pinjaman. Begitu juga pembiayaan pendidikan atau modal perniagaan. Jadi, berhutang untuk tujuan itu menjadi satu kebiasaan dalam masyarakat kita.

Penulis berpendapat ia bukanlah sesuatu yang tidak baik kerana rumah, pendidikan, kenderaan dan perniagaan (pekerjaan) yang berdaya saing adalah keperluan utama manusia.

Apabila kita berhutang untuk perkara tidak perlu atau untuk tujuan yang tidak mendatangkan manfaat, kita sebenarnya menjerumuskan diri ke dalam satu kemelut kehidupan.

Kemelut ini ada kaitan dengan masalah kebebasan dan masa. Orang yang dibebani hutang akan hilang kebebasan kerana jika dia bekerja, pendapatan yang diperoleh terpaksa digunakan untuk membayar hutang.

Oleh itu, dia hilang kebebasan menggunakan wang tadi bagi melakukan apa yang diingininya. Ibarat seorang banduan yang menjalani program pelepasan kerja penjara (prison work release program), orang yang berhutang akan rasakan fikirannya terpenjara akibat bebanan kewangan tadi.

Selain hilang kebebasan, orang dibelenggu hutang juga hilang nikmat penggunaan masa untuk tujuan rehat, bersama keluarga dan sebagainya. Kebanyakan masanya akan dihabiskan untuk bekerja bagi membayar hutang.

Dalam Islam, tidak ada nas yang menyarankan kita supaya berhutang. Bagaimanapun, ada ayat al-Quran dan hadis menunjukkan bahawa tidak salah jika kita hendak berhutang.

Malah, dalam bab berhutang, Islam lebih dulu membuat garis panduan dan yang paling jelas ialah keperluan untuk menulis atau merekodkan hutang.

Persoalan berkenaan hutang ini sebenarnya berkait rapat dengan dua persoalan iaitu taraf ekonomi seseorang dan kedua corak perbelanjaan. Tidak semua manusia dilahirkan kaya, ada yang sederhana dan ada kurang bernasib baik.

Bagi yang kurang bernasib baik dan tiada pilihan boleh diambil, mungkin mereka terpaksa menggunakan pendekatan berhutang untuk memenuhi keperluan harian termasuk berhutang membeli keperluan asas membeli makanan, perubatan atau tujuan pendidikan.

Seterusnya kita boleh kaitkan keharusan untuk berhutang bagi memenuhi keperluan asas ini dengan tujuan perundangan (maqasid al-syariah) itu sendiri iaitu untuk menjaga maslahah atau kepentingan ummah.

Jika matlamat perundangan Islam dikaitkan dengan faham daruriyyat (keperluan asas), hajiyyat (keperluan biasa) dan tahsinat (perhiasan), maka dalam bab berkaitan tujuan berhutang, kita boleh kaitkan juga dengan fahaman ini.

Justeru, jika kita berhutang untuk memenuhi matlamat yang digariskan di bawah keperluan asas, penulis rasakan tidak ada sebab untuk kita menyatakannya sebagai sesuatu menyalahi agama.

Contohnya seseorang itu berhutang untuk tujuan perubatan atau pendidikan. Perubatan untuk menjaga nyawa dan pendidikan bertujuan memperkasakan akal. Kedua-dua ini dituntut oleh syarak.

Apa yang menjadi masalah sekarang, kes membabitkan jenayah along atau kes muflis ialah berhutang untuk tujuan kurang baik seperti berjudi, bergaya atau menunjuk-nunjuk.

Dengan kata lain, apabila kita berhutang tidak kena pada tempatnya atau berhutang untuk perkara tidak perlu, maka kita sebenarnya menempah kesusahan.

Kenyataan ini bertepatan dengan hadis diriwayatkan oleh Ahmad yang bermaksud: “Berhati-hati dengan hutang, sesungguhnya berhutang itu suatu kesedihan pada malam hari dan kerendahan diri (kehinaan) pada siang hari.”

Selain taraf ekonomi, tabiat berhutang juga ada hubung kait dengan cara kita berbelanja. Sebab itu kita disarankan berbelanja mengikut keperluan dan kemampuan bukannya mengikut perasaan.

Sebarang perbelanjaan perlu menjurus kepada dua matlamat utama iaitu berbelanja di jalan Allah (al-infaq fi sabilillah) seperti mengeluarkan perbelanjaan untuk zakat dan perbelanjaan untuk diri sendiri serta keluarga seperti perbelanjaan penyediaan makan, minum, tempat tinggal dan pendidikan.

Sebaik-baik corak perbelanjaan ialah bersederhana, iaitu tidak terlalu mewah dan tidak terlalu kedekut atau bakhil.

Di samping dua matlamat utama perbelanjaan, kita juga boleh menjadikan fahaman maslahah sebagai panduan berbelanja.

Fahaman ini ada kaitan dengan tujuan perundangan dalam Islam iaitu untuk menjaga agama, jiwa, keturunan, harta dan akal. Jadi, perbelanjaan yang baik ialah berbelanja untuk mencapai kelima-lima matlamat digariskan oleh syarak.

Penulis ialah Felo, Pusat Ekonomi dan Kajian Sosial, Institut Kefahaman Islam Malaysia

Pembiayaan Perumahan Secara Islam Semakin Inovatif

Pembiayaan Perumahan Secara

Islam Semakin Inovatif

Oleh

Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman

Bagi memperolehi sesuatu keuntungan, Islam tidak membenarkan pinjaman kewangan dijadikan sebagai instrument bagi memperolehinya. Cara yang diterima Islam bagi memperoleh sebarang keuntungan hanyalah melalui kontrak jual beli. Oleh kerana itu, Perbankan Islam di seluruh dunia tidak di benarkan sama sekali untuk meraih sebarang keuntungan dari pinjaman. Hasilnya mereka telah mencipta seluruh konsep produk mereka kepada pelbagai jenis konsep jual beli di dalam Islam bagi meraih keuntungan yang sah di sisi Islam.


Bai Bithaman Ajil (BBA) atau Jual beli secara tangguh pembayaran adalah salah sebuah instrumen atau produk yang digunakan oleh kebanyakan bank-bank Islam di Malaysia. Konsep ini telah diluluskan oleh Majlis Penasihat Shariah Kebangsaan yang berpusat di Bank Negara Malaysia dan juga kebanyakan bank-bank Islam di Malaysia. Menurut statistik, konsep BBA ini amat popular dan digunakan dengan cukup meluas di Malaysia. Sehingga Disember 2005, konsep BBA digunakan sebanyak 52.9 % dalam penerbitan Bon Islam (Sukuk) berbanding konsep-konsep lain. Manakala sepanjang tahun 2005 juga konsep ini digunakan sekitar 41 % pula di dalam produk pembiayaan kewangan pelanggan. Kedua-dua angka ini menunjukkan betapa konsep ini amat selesa diaplikasikan oleh perbankan Islam Malaysia. Malah ia juga amat popular di Brunei dan Bangladesh.


Bagaimanapun, konsep ini tidak diterima oleh bank-bank Islam di Timur Tengah termasuk Pakistan dan beberapa Negara lain. Ini adalah kerana majoriti ilmuan dan cendiakawan Shariah di rantau Timur Tengah tidak menerima konsep itu yang dianggap tidak menepati konsep tulen BBA, malah konsep BBA versi Malaysia juga dilihat sebagai gabungan dua konsep iaitu Bai' Inah (Jual dan beli semula) dan Bai Muajjal ( Jualan dengan bayaran bertangguh dan secara ansuran). Justeru, ini menyebabkan pihak Bank-bank Islam di sebelah Timur Tengah lebih suka untuk mengutamakan konsep-konsep lain yang lebih menepati objektif Shariah menurut ijtihad mereka seperti Ijarah, Musharakah dan lain-lain.


Secara mudahnya BBA versi Malaysia berfungsi seperti berikut; Apabila seorang pelanggan ingin membeli sebuah rumah berharga RM 200,000, maka si pelanggan akan membayar sejumlah wang kepada penjual / pemaju sebagai ‘booking' dan kemudiannya membayar 10 % pula kepada pemaju/penjual sebagai wang pendahuluan (deposit).


Setelah iu, berbekalkan perjanjian jual beli (S&P agreement) antara si pembeli dan penjual, maka si pelanggan akan mula mencari bank Islam yang oleh memberikan pembiayaan perumahan kepadanya. Setelah menepati seluruh syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak Bank. Pihak Bank bersetuju untuk membeli rumah itu daripada pelanggan tadi dengan harga RM 180,000 (iaitu sama jumlahnya setelah di tolak deposit) dengan bayaran tunai. Dengan itu, rumah itu akan menjadi milik bank dan tanda pemilikan bank ke atas rumah itu adalah melalui satu surat ‘declaration of trust' dan sebuah ‘charge' sebagai tanda hak bank ke atas rumah tersebut. Bagaimanapun nama pemilik atas geran tidak akan ditulis nama Bank kerana ini bukanlah syarat dalam pemilikan Islam dan hanyalah bersifat urusan rasmi ‘formality'. Setelah pemilikan ini sah di sisi undang-undang Negara dan diiktiraf oleh Shariah, maka pihak bank Islam akan menjualkan rumah (yang telah dibelinya tadi) itu kepada pelanggan yang sama dengan harga baru ( merangkumi modal beserta kadar keuntungan yang di tetapkan) iaitu RM 350,000 yang boleh dibayar oleh pelanggan secara ansuran bulanan selama 25 tahun atau lebih, bergantung kepada perjanjian.


Itulah gambaran ringkas bentuk pelaksanaan BBA di Malaysia yang merupakan sebuah produk yang dibina atas konsep jual beli dan bukannya pemberian pinjaman kepada pelanggan. Tidak dinafikan, walaupun konsep BBA ini telah hampir disepakati keharusannya oleh kebanyakan cendiakawan Shariah di dalam Negara. Semakin banyak isu-isu Shariah kelihatan timbul hasil dari cara pelaksanaan atau ‘implementasi' BBA yang kerap tersilap akibat kurang pemantauan oleh individu Shariah di dalam Bank atau tidak difahami sebaiknya oleh para pegawai bank yang mengaplikasikan konsep ini di dalam produk mereka.


Hasilnya, pelbagai pihak yang menyedarinya tampil membuat teguran, pertanyaan dan pelbagai tuntutan penjelasan dibuat. Tambahan itu, konsep ini juga dianggap menjadi satu imej perbankan Islam yang sedikit kurang inaovatif di Malaysia di mata pihak antarabangsa, lalu kemungkinan menjadi salah satu faktor kurang minat pelabur Arab yang kaya untuk turut serta memeriahkan perbankan Islam di Malaysia dengan lebih hebat. Tidak dinafikan, kewujudan beberapa Bank Islam antarabangsa dari Kuwait ( Kuwait Finance House), Saudi (Ar-Rajhi Investment Bank) dan Qatar ( Asian Finance Bank) menampakkan penerimaan Timur Tengah terhadap Malaysia, tetapi perlu diingat bahawa ketiga-tiga bank Islam antarabangsa ini tidak mengamalkan sebarang konsep BBA di dalam operasi mereka.


Kini, timbul satu fenomena yang agak sihat di kalangan cendiakawan Shariah tempatan dan pengamal perbankan Islam di Malaysia. Mereka dilihat semakin inovatif dan kreatif dengan mengutarakan pelbagai konsep baru yang lebih ‘mampu' diterima oleh para ulama sedunia dan pengamal perbankan Islam antarabangsa. Sebagai contoh, produk BBA yang sering menjadi teras bagi pembiayaan perumahan kini sudah semakin kurang popular tambahan pula dengan isu-isu Shariah yang masih lagi berlegar di sekitarnya. Kini konsep pembiayaan perumahan sudah mula di tukar kepada konsep baru yang lebih baik seperti Musharakah Mutanaqisah (Pemilikan berkongsi secara menurun) dan Ijarah Muntahiyah Bit Tamleek (sewaan yang berkahir dengan pemilikan). Pelbagai Bank Islam dan jendela Perbankan Islam ‘Islamic Banking window' sudah mula melakukan kajian terhadap kesesuaian konsep ini dengan perundangan Negara. Malah sebahagiannya telah pun mengaplikasikan produk pembiayaan perumahan dengan cara ini. Setakat ini, ia terbukti lebih berkesan selain diterima oleh Ulama sedunia.


Apa yang diharapkan adalah masyarakat Islam di Malaysia khasnya dapat memberikan sokongan tanpa berbelah-bagi terhadap operasi perbankan Islam ini dari masa ke semasa sehinggalah ia dapat mencapai tahap terbaik bagi manfaat dunia akhirat. Tidak dinafikan masih terdapat pelbagai kelemahan dikenalpasti dalam operasi dan harga yang di tawarkan. Bagaimanapun adalah tidak adil untuk menuding jari terhadap perbankan Islam sahaja tanpa mengetahui bahawa bank-bank Islam ini terhalang dan dihalang oleh pelbagai sebab dan sudut yang diluar bidang kuasanya.


Perbankan Islam vs Perbankan Konvensional

Perbankan Islam lebih mahal drpd bank konvensional?

Saya telah jelaskan secara mudah dan ringkas beberapa proses pengawalseliaan dan pematuhan Shariah di bank-bank Islam. Bagaimanapun, saya tidak dapat menafikan bahawa masih terdapat kemungkinan bank-bank Islam diseluruh dunia atau jendala perbankan Islam di Bank Konvensional yang tidak memberikan perhatian sewajarnya terhadap proses pematuhan tersebut. Justeru, bebanan besar mestilah di tanggung sepenuhnya oleh anggota Majlis Pengawasan Shariah setiap bank untuk bersikap lebih tegas, pro-aktif dan bersungguh terhadap operasi bank yang di selia mereka.

Melalui siri kali ini, saya akan cuba menjawab beberapa persaoalan yang seringkali kedengaran di kalangan masyarakat Islam khususnya, bagaimanapun, sedikit malang kerana kerap kali isu yang dijaja ini tidak disandari oleh fakta yang jelas, spesifik dan mantap. .

Masih segar di ingatan saya, salah seorang pemuda yang kelihatan kuat pegangan Islamnya mendekati saya lalu bertanya tentang soalan yang sama dengan soalan yang saya paparkan minggu lepas, iaitu ? mengapa bank Islam lebih mahal ?. Tatkala saya membalas dengan soalan lanjut, kali ini, pemuda terbabit mempunyai hujjah tambahan.

Lalu dengan tegas si pemuda ini menjawab : ?Sebagai contoh? katanya dengan yakin, ?Ibu saya mengatakan pembiayaan perumahan bank Islam jauh lebih tinggi dari Perbankan Konvensional, bagaimana tu ustaz ?? katanya sambil membulatkan matanya ke arah saya.

Saya bertanya kembali, ? bagaimana cara ibu saudara mengira sehingga dapat jumlah itu? ? kata saya, ?adakah saudara tahu berapa kadar keuntungan yang dikenakan oleh Bank Islam dan berapa pula, yang dikenakan oleh Konvensional?? Tanya saya lagi.

Pemuda itu menjawab : ?bank Islam ini mengenakan kadar 7.60 % setahun untuk tahun ke tiga ke tiga puluh?, manakala bank konvensional hanya mengenakan 6.75 % ?

Inilah antara bentuk kekeliruan yang menjalar di kalangan orang ramai yang ingin menggunakan perkhidmatan perbankan Islam di ketika ini. Mereka tidak dapat memahami cara kiraan yang betul menyebabkan mereka membuat keputusan dan kesimpulan yang salah. Bayangkan, Perbankan Islam hanya mengenakan 7.60 % (tahun 3-30 sebagai contoh), ini bermakna kadar ini tidak akan bergerak hinggalah 30 tahun itu, bukankah bank Islam menanggung risiko yang besar ?.

Manakala jika dilihat kepada pinjaman perumahan oleh produk konvensional, hampir kesemuanya memukau pelanggan dengan kadar rendah di tahun pertama, tetapi bagi tahun berikutnya kadarnya tidak dapat diketahui oleh pelanggan kerana ia bergantung kepada kadar peratusan BLR ( Base Lending Rate) atau Kadar Pinjaman Asas yang tidak tetap serta dicampur dengan 0.25 % (sebagai contoh). Bagaimana jika % BLR melambung tinggi seperti 10 % sebagaimana yang berlaku ketika krisis ekonomi?, bukankah tatkala itu, kadar interest yang perlu di bayar oleh pelanggan juga amat tinggi. Ini tidak akan berlaku dalam pengamalan bank Islam kerana di awal kontrak lagi telah menetapkan harga jualannya, tanpa terikat dengan BLR dan tidak akan naik malah mungkin boleh turun sekiranya bank Islam bermurah hati untuk memberikan rebate (ibra?) jika pihak pelanggan ingin membuat penyelesaian hutang awal ?early settlement?. Perlu dingat bahawa BLR telah naik beberapa kali sepanjang tahun lepas dan tahun ini dari 6 % sehingga 6.75 %. Ia juga boleh melonjak lagi bergantung kepada keadaan ekonomi.

Ini bermakna, kenyataan yang menyebut perbankan Islam mengenakan kadar yang lebih tinggi untuk dibayar oleh pelanggan adalah kenyataan yang kurang tepat dan amat boleh dipertikai. Malah jika dilihat kepada kadar pembiayaan yang dikenakan oleh Perbankan Islam untuk produk-produk pembiayaan perniagaan juga membuktikan kadar adalah setara dengan yang di tawarkan oleh Bank Konvensional malah lebih murah dalam banyak keadaan. Hal ini sukar untuk didedahkan kerana sesuatu kadar pembiayaan itu bergantung kepada dua hal terpenting :-

a) Kadar Pengurusan Minima ( Cost of Fund ) sesebuah Bank islam itu.
b) Prestasi dan kekuatan sesebuah organisasi yang memohon pembiayaan.
c) Potensi and risiko perniagaan yang ingin diceburi.

Semua yang disebut di atas akan mempengaruhi kadar yang dikenakan kepada pemohon. Saya sedar, bahawa walaupun saya telah menerangkan hujjah di atas, akan terdapat orang ramai yang mula menyebut. Jadi mengapa hanya setanding dengan konvensional, kami ingin kamu menjadi lebih murah?.

Bagi menjawab persoalan ini, adalah terlebih baik jika pembaca dapat menghayati

fakta berikut terlebih dahulu:-


a) Bank-bank Islam adalah merupakan syarikat-syarikat berlesen dan berdaftar yang juga mensasarkan keuntungan agar organisasi dapat mara lebih maju lagi ke hadapan. Bagi mencapai sasaran itu, perbankan Islam menawarkan khidmat kewangan menurut Islam melalui produk-produknya yang diiktiraf Shariah. Ia bukannya badan kebajikan yang menawarkan perkhidmatan secara percuma.

b) Bank-bank Islam juga mempunyai pelabur-pelabur yang mengharapkan pulangan yang baik hasil pelaburannya, dan ia bukannya wang subsidi yang diberi secara percuma.

c) Bank-bank Islam juga mempunyai para kakitangan yang perlu di bayar gaji selaras dengan nilai pasaran. Keuntungan adalah amat penting bagi menjamin kakitangan yang berkualiti dapat di kekalkan bagi meneruskan bank (efficiency) dan (its competitiveness).

d) Bank-bank Islam juga perlu membayar seluruh kos operasi bangunannya dan peralatan-peralatannya. Justeru jika khidmat yang di tawarkan adalah percuma dan amat murah, bagaimana mungkin sebuah bank Islam mampu terus berkembang.

Selepas memahami empat fakta di atas, cuba fahami fakta berikut pula :-

a) Jika anda mengatakan bahawa, perbankan Islam sepatutnya sentiasa lebih murah berbanding konvensional kerana ia perlu membantu orang ramai terutamanya orang Islam. Anda perlu menyedari bahawa, kebajikan dan kepentingan bank juga perlu dijaga agar mampu terus menerus membantu segenap lapisan masyarakat. Nabi SAW tidak membenarkan kawalan harga dibuat oleh kerajaan pada masa yang tidak terdesak. Ia adalah kerana Nabi SAW tidak mahu menghadkan hak peniaga bagi mendapat keuntungan, justeru, selagi mana ruang keuntungan masih berada di paras pasaran, ia adalah dibenarkan. (Mahanij Ijtihad Fi Istinbad bi rakyi, Dr Fathi Ad-Durayni, ketika menghuraikan isu tas?ir iaitu penetapan harga oleh kerajaan)

b) Jika anda mengatakan, perbankan Islam sepatutnya membantu orang-orang yang susah dan bukan semakin menyukarkan mereka. Maka anda perlu memahami bahawa jika sesebuah bank islam itu memperolehi keuntungan, ia akan mengeluarkan zakat bagi asnaf (kumpulan) yang layak menurut Shariah. Malah selain itu, Bank-bank Islam juga mempunyai peruntukan sumbangan kebajikan (charity) yang diberikan menurut keadaan. Bukankah itu juga membantu individu yang susah dan memerlukan.

Ini jelas, kerana orang yang benar-benar susah tidak akan mampu langsung untuk mendekati Bank dan mengajukan permohonan. Maka sesiapa yang diluluskan permohonannya oleh Bank-Bank Islam sebenarnya adalah orang yang agak senang. Justeru, bukankah amat baik apabila zakat yang dikeluarkan oleh Bank disalurkan kepada orang yang benar-benar susah berbanding yang sederhana susah. Kita perlu mengetahui bahawa jumlah peruntukan zakat yang sediakan oleh Bank-Bank Islam dan jendela ?windows? perbankan Islam bagi tahun kewangan 2005 sebagai contoh adalah seperti berikut : RHB ISLAMIC Bank : RM 920 ribu, HSBC Amanah : RM 49 ribu, Maybank ?Islamic windows?: 1.172 juta ; Public Bank ?Islamic windows?: 55 ribu ; Hong Leong Islamic : RM 45 ribu Rujukan : Laporan setiap Bank Berkenaan bagi Tahun Kewangan 2005). Bukankah ini benar-benar membantu orang yang susah

sebagaimana yang diinginkan?


c) Keuntungan baik yang diperolehi oleh Bank-Bank islam juga akan membolehkan Bank ini meluaskan lagi jangkauan operasinya, selain memantapkan lagi keuntungan akan datangnya. Ia adalah amat baik kerana bakal menghasilkan lebih banyak peluang kerjaya baru bagi individu Muslim di Perbankan Konvensional yang ingin berhijrah ke perbankan Islam, ia juga mewujudkan banyak peluang pekerjaan buat rakyat sekaligus membantu mereka. Malangnya, ramai yang suka menyempitkan pemikiran mereka dengan hanya melihat kepada kadar-kadar pembiayaan sahaja.

d) Tidakkah anda sedar bahawa, apabila bank mendapat kentungan yang baik, maka ia juga akan menghasilkan kadar pulangan yang tinggi bagi penyimpan-penyimpan di akaun Islam sebagai contoh Akaun Mudharabah, sudah tentu penyimpan ini akan mendapat pulangan yang lebih besar. Demikian juga penyimpan yang menyimpan di dalam akaun simpanan jenis wadiah. Mereka juga berpeluang mendapat pulangan (hibah) yang lebih menarik. Ia juga satu lagi bentuk bantuan tetapi tidak disedari oleh orang yang merungut ini.

Jika hujjah ini masih lagi tidak mencukupi, saya sertakan lagi hujjah lain bagi memahamkan rakyat Malaysia terhadap perbankan Islam :-

1) Nilai sesuatu yang halal adalah tidak ternilai.
Seorang usahawan Malaysia pernah memberitahu saya pengalamannya di London, bahawa harga ayam yang disembelih jauh lebih mahal dari ayam yang tidak di sembelih. Bagaimanapun, umat Islam tetap terpaksa membeli ayam yang mahal tadi demi memastikan makanannya halal walaupun ia lebih mahal.
Demikian analogi yang ingin saya utarakan; jikalau benar sekalipun tuduhan yang mengatakan produk Bank Islam lebih mahal ; perlu diingat ia telah dipastikan halal di sisi Shariah menerusi pengesahan Majlis Penasihat Shariah masing-masing berbanding produk-produk yang tidak di sahkan Shariah.

Satu fenomena yang agak ganjil berlaku hari ini apabila wujud di kalangan orang Islam yang amat mengambil berat agar tidak memakan makan yang dicampur dengan ayam tidak sembelih dan sebagainya, tetapi sering melupakan bahaya dosa keterlibatannya dengan Riba, sedangkan dosa Riba adalah jauh lebih berat dari memakan ayam bangkai atau khinzir.

2) Kos tambahan untuk khidmat professional pengesahan Shariah.

Jika dilihat dari perspektif perniagaan dan logik pula. Perlu kita sedari bahawa proses pengesahan Shariah amat diperlukan di dalam semua produk, aktiviti pelaburan dan pembiayaan oleh Bank Islam. Justeru, keadaan ini boleh di anggap sebagai satu proses penambah piawanan professional yang pastinya memerlukan kos masa, tenaga dan kepakaran tambahan. Keadaan ini sekali lagi menyebabkan semua produk yang di tawarkan Bank Islam adalah unik, istimewa dan melalui proses Shariah Screening. Sesuatu yang lebih unik dan berkualti sudah tentu mempunyai nilai pasaran yang sedikit berbeza.

3) Bank-bank Islam adalah pemain-pemain kecil yang sedang meningkat naik.
Ini ternyata dari statistik yang dikeluarkan oleh Laporan bank Negara Malaysia Tahun 2005 yang menyebut bahawa aset semua Bank-bank Islam dan Jendela Perbankan Islam di Malaysia sebanyak RM 111.8 Billion dan ia hanya merupakan 11.6 % dari kesleuruhan aset bank di Malaysia. Ini bermakna, bank konvensional masih menguasai industri perbankan dengan cukup jauh sekali. Bagaimanapun, kita bersyukur kerana prestasi perbankan Islam mencatatkan pertumbuhan sebanyak 17.7% berbanding tahun 2004.


Maka, sebagai pemain-pemain kecil yang sedang naik, kadangkala harga yang di tawarkannya mungkin lebih tinggi sedikit berbanding pemain-pemain besar. Ia bolehlah dianggap seperti harga barangan yang ditawarkan di Kedai Runcit di bandingkan dengan harga di hypermarket. Sebagai penguat hujah ini, seseorang perlu memahami bahawa sebuah bank konvensional yang mempunyai aset besar sekitar RM 150 billion (sebagai contoh), jika ia menghadapi hutang tidak berbayar (non performing loan) dari peminjamnya berjumlah RM 150 juta, kedudukan Bank itu masih tidak tergugat. Bagaimanapun, sekiranya sesebuah bank Islam dengan asetnya berjumlah RM 8 billion, mempunyai jumlah nilai hutang tidak berbayar yang sama, sudah tentu ia akan amat memberikan kesan yang besar kepada jangka hayat bank Islam itu.

Kesimpulannya, Bank-Bank Islam serta kaunter/ jendela (windows) Islam hari ini perlu diberi lebih sokongan oleh semua rakyat demi memampukan ia mencapai tahap yang di gariskan kerajaan (iaitu 20 % aset perbankan Islam berbanding konvensional), malah mengatasinya. Jika hari ini kita sanggup berkorban sedikit demi memajukan bank-bank Islam, nescaya sudah pasti generasi akan datang mampu melihat dan menikmati kadar yang sangat hebat serta halal dari institusi kewangan Islam dan produk-produk Islam

Tuesday, October 7, 2008

Sistem Perbankan Bukan Organisasi Kebajikan

Sistem perbankan diwujudkan pada dasarnya adalah di atas matlamat perniagaan serta memperolehi keuntungan. Dari sudut Islam, ianya tidak menjadi masalah kerana Islam memang amat menggalakkan umatnya berniaga. Di dalam sebuah hadith, Nabi s.a.w bersabda:

“Sembilan persepuluh dari kehidupan (al ma’isyah) adalah di dalam perniagaan”

Datuk Seri Harussani bin Zakaria, iaitu Mufti Perak Darul Redzuan di dalam satu majlis anjuran Pan Phoenix Dina Sdn Bhd baru-baru ini menyatakan bahawa apa yang dimaksudkan di dalam hadith tersebut adalah amat luas skop perbincangannya. Beliau menyatakan bahawa sembilan persepuluh kehidupan adalah bergantung kepada perniagaan. Ini bermaksud bahawa tanpa adanya perniagaan, maka sudah pasti kehidupan manusia akan lumpuh kerana segala yang kita perolehi hari ini ini termasuk makanan, pakaian, kenderaan, tempat tinggal dan segala bentuk perkhidmatan adalah berasaskan kepada perniagaan.

Berdasarkan kepada fakta yang disebut di atas, amat jelas bahawa perniagaan adalah satu punca rezeki yang menawarkan keuntungan yang amat lumayan kepada mereka yang menyertainya. Juga amat jelas kepada kita bahawa mereka yang kaya raya majoritinya adalah mereka yang terlibat dengan perniagaan.

Namun kita tidak seharusnya terlalu ghairah mengejar keuntungan dan kemewahan tanpa mengambil kira kebajikan dan kepentingan masyarakat kerana kekayaan dari sudut Islam perlu dikongsi bersama secara Adil. Ini tidak bermaksud bahawa pihak yang berniaga perlu memperuntukkan peratusan tertentu untuk dibahagi-bahagaikan kepada orang ramai. Apa yang perlu dilakukan ialah penerapan nilai-nilai keadilan di dalam perniagaan. Sebagai contoh, para peniaga perlu mengambil kira kepentingan masyarakat di dalam menetapkan peratusan keuntungan yang patut mereka perolehi di dalam satu-satu perniagaan yang diceburi. Mereka juga perlu mengelakkan diri dari mengambil kesempatan dari kesempitan orang ramai dengan mengambil untung secara melampau dan tidak munasabah.

Di dalam sistem perbankan pula, keadilan juga perlu diwujudkan. Meskipun umum mengetahui bahawa pihak perbankan tidak kira samada yang konvensional mahupun yang berlabelkan Islam, bukanlah sebuah organisasi kebajikan atau welfare kerana pihak institusi kewangan ini tidak mungkin akan membantu mereka yang susah dan memerlukan jika mereka tidak dapat membuktikan kemampuan membayar balik pinjaman yang diperolehi. Namun, mereka seharusnya lebih peka dan ‘sedar diri’ bahawa keuntungan yang mereka perolehi adalah hasil dari wang yang dijana dari simpanan atau pelaburan yang dibuat oleh orang ramai.
Jika sesetengah institusi perbankan contohnya mengaut keuntungan sehingga berbillion ringgit pada setiap tahun dan mampu memiliki menara mencakar langit sendiri, adilkah jika para pelabur dan penyimpan yang memainkan peranan yang amat besar di dalam perkembangan perniagaan mereka hanya diberi keuntungan dalam jumlah yang terlalu kecil dan tidak masuk akal?

Pemberian keuntungan yang hanya sekitar 5% setahun kecuali Bank Rakyat yang menawarkan keuntungan sehingga mencecah 15% setahun adalah terlalu kecil jika dibandingkan dengan laba yang diperolehi oleh pihak institusi perbankan. Pemberian keuntungan yang tidak adil adalah satu bentuk ekspoitasi dan satu kezaliman yang patut diperangi. Kezaliman di dalam sistem perbankan yang selama ini mendominasi masyarakat perlu disekat. Satu sistem perbankan yang lebih adil perlu diwujudkan dan pihak Bank Negara Malaysia perlu memainkan peranan yang lebih aktif di dalam membela nasih rakyat bukan hanya melindungi sistem perbankan yang hanya ingin mengaut keuntungan semata-mata.

Pihak institusi kewangan Islam tidak seharusnya hanya melihat dari satu sudut yang sempit dari prinsip kewangan Islam. Memang tidak dinafikan bahawa mengelakkan diri dari terjebak dalam perbankan ribawi adalah satu tuntutan asas di dalam perbankan Islam, namun prinsip-prinsip lain tidak seharusnya dipinggirkan. Keadilan di dalam pembahagian keuntungan juga adalah satu tuntutan yang perlu dipenuhi oleh pihak perbankan Islam bagi memastikan bahawa sistem perbankn Islam benar-benar ‘Islamic’ dan boleh diterima pakai selari dengan konsep keadilan yang sebenar. Tidak cukup hanya mengenepikan riba di dalam sistem perbankan Islam bagi menjadikan satu-satu sistem itu Islam bahkan mengaplikasi semua konsep-konsep asas Islam di dalam perbankan patut juga diberi perhatian.

Masyarakat telah lama menanggung penderitaan dari kezaliman sistem perbankan yang wujud walaupun di atas tiket perbankan Islam. Hasilnya, masyarakat terus hidup dalam keadaan tertekan. Wang simpanan yang disimpan di dalam institusi kewangan tidak mampu menjana pendapatan yang berpatutan apa lagi untuk mengubah nasib dan taraf kehidupan mereka dan akhirnya wang simpanan habis dibelanjakan.

Akibat dari ketamakan institusi kewanganlah, maka wujudnya pelbagai skim yang ditawarkan sebagai alternatif kepada sistem kewangan dan perbankan yang sedia ada yang menawarkan perkongsian keuntungan yang jauh lebih baik dan adil berbanding apa yang ditawarkan oleh institusi kewangan yang tamak haloba.

Namun berbagai sekatan dikenakan oleh pihak berwajib bagi menyekat perkembangan skim-skim tersebut dari terus berkembang kerana dilihat sebagai ancaman kepada institusi kewangan yang telah sedia wujud. Memang tidak dinafikan bahawa terdapat segelintir manusia rakus yang mengambil kesempatan menipu dan memperdayakan rakyat dengan pelbagai skim cepat kaya yang mengaut keuntungan jutaan ringgit dari kesengsaraan orang ramai yang diperdaya, namun terdapat juga pihak-pihak yang ikhlas yang ingin mengeluarkan masyarakat dari belenggu kezaliman dan sebahagiannya telah terbukti berjaya mengubah taraf ekonomi dan kehidupan rakyat. Namun oleh kerana sistem perbankan dan pelaburan dikawal oleh sistem konvensional, mereka yang ikhlas juga turut terkena tempiasnya. Akhirnya tidak ada pihak yang bangun membela nasib rakyat yang teraniaya. Mereka yang kaya terus kaya manakala yang miskin terus merana.

Pihak berwajib perlu memikirkan satu kaedah yang lebih fleksibel bagi membantu pihak yang ikhlas menyediakan platform untuk rakyat menjana pendapatan yang lebih baik. Pihak kerajaan tentunya tidak akan mampu membantu rakyat melalui subsidi dan seumpamanya. Forum-forum dan perbincangan haruslah dibuka seluasnya tanpa sebarang prejudis bagi membela rakyat yang teraniaya di bawah sistem ekonomi dan kewangan yang diimpot dari penjajajah.
Sudah lebih 5 dekad Negara kita Malaysia mencapai kemerdekaan namun masyarakat masih dijajah melalui sistem yang tidak adil dan berat sebelah. Langkah drastic perlu diambil segera sebelum keadaan menjadi lebih parah.
· Penulis adalah bekas Penolong Profesor, Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan bekas Pensyarah Jabatan Syariah, Universiti Brunei Darussalam. Beliau juga pernah menjadi kolumnis Utusan Malaysia di dalam kolum “BICARA SYARIAH’

Saturday, September 13, 2008

Rahsia di sebalik AL-FATIHAH

"Saya tertarik dengan satu emel yang pernah saya terima daripada seorang sahabat lama. Rasanya mungkin saya boleh gunakan kesempatan dan ruang yang ada ini untuk berkongsi ilmu bersama akhawat sekalian...

Kita mungkin tahu apa itu surah Al-Fatihah dan kita mungkin boleh membacanya atau menghafal surat tersebut (mana yang tak boleh baca atau menghafalnya tak apa, pintu taubat masih terbuka), tetapi tahukah kita disebalik surah tersebut terdapat rahsia dan hikmatnya yang kita mungkin tidak tahu. Nak tahu rahsia dan hikmatnya?


Fatihah Seribu Faedah
Sesiapa yang mengekalkan membaca Al-Fatihah diantara sembahyang sunat subuh dengan fardhu subuh sebanyak 41 kali tidak ia:

i) Meminta pangkat melainkan ia dapat
ii)Ia miskin melainkan jadi kaya
iii) Ia berhutang melainkan dibayar Allah akan hutangnya.
iv) Ia sakit melainkan disembuhkan oleh Allah.
v) Ia lemah melainkan dikuatkan.
vi) Ia berdagang dinegeri orang melainkan dimuliakan orang, dikasehi dan sampai cita-citanya.


Fatihah Mengembalikan Pangkat
Sesiapa yang telah dipecat dari pekerjaannya atau jatuh pangkat yang disandang olehnya dan ia ingin kembali mendapatkan pangkatnya semula:

Hendaklah ia membaca Fatihah sebanyak 40 kali diantara sunat subuh dan fardhunya selama 40 hari (jangan kurang dari bilangannya dan jangan putus). Insyaallah dikembalikan pangkatnya atau dapat ia menyandang pangkat yang lebih tinggi. PERCAYALAH KEPADA KUDRAT TUHAN.


Fatihah Mendapat Zuriat
Sesiapa yang mandul dan tidak mendapat anak sedangkan ia inginkan anak, amalkan surah Al-Fatihah sebagaimana kaedah dan peraturan ini:
41 kali membaca Fatihah selama 40 hari dengan tidak putus dan tidak kurang. Masanya adalah antara sunat subuh dan fardhunya. Insyaallah akan mendapat ia anak yang soleh dan baik.


Fatihah Sakit Mata
Jika sesiapa yang mengidap sakit mata sama ada lama atau baru, dan diatas apa sifatnya sekalipun, hendaklah ia membaca Fatihah dengan niat meminta:
i) Sembuh penyakit matanya
ii) Pulih pandangannya.
iii) Menurut peraturan yang telah disebutkan diatas iaitu:
41 kali membaca Fatihah selama 40 hari diantara sembahyang sunat subuh dan fardhunya. Insyaallah akan sembuh penyakit mata itu.


Fatihah Di atas Kapas
Sesiapa membaca Fatihah sebanyak 7 kali, kemudian diludahkan diatas sekeping kapas dan ditampalkan pada tempat yang kudis atau luka atau apa sahaja penyakit kulit, akan bercantum lukanya dan sembuh kudisnya dengan izin
Allah.


Wirid Fatihah
Sesiapa yang membaca Fatihah sebanyak 100 kali sehari pada tiap-tiap lepas sembahyang sebanyak 20 kali, akan ia:
i) Dimurahkan rezekinya
ii) Diperbaiki hal ehwalnya
iii) Dibersihkan hatinya
iv) Diangkat darjatnya
v) Dimudahkan pekerjaannya
vi) Dilepaskan ia dari dukacita
vii) Dijauhkan dari mudharat
viii) Diberi ia kerajinan dan semangat
ix) Tidak kecewa
tak) Jauh dari hasutan syaitan
xi) Diilhamkan kepadanya kebajikan


Dinding Dimasa Tidur
Sesiapa membaca Fatihah sekali tatkala meletakkan kepalanya kerana hendak tidur, kemudian ia membaca:
Qul Huwallah Hu Ahad - 3 kali
Qul A'uzubirabbil falaq - 1 kali
Qul A'uzubirabbin Nas - 1 kali
Terselamat ia dari segala kejahatan dan mudharat serta menjadi dinding dari syaitan dan segala makhluk yang akan merasuk dalam masa ia tidur.


akhawat sekalian...
Sama-samalah kita mengamalkannya..
sebaik-baik penawar ialah ayat alquran...