Tuesday, October 7, 2008

Sistem Perbankan Bukan Organisasi Kebajikan

Sistem perbankan diwujudkan pada dasarnya adalah di atas matlamat perniagaan serta memperolehi keuntungan. Dari sudut Islam, ianya tidak menjadi masalah kerana Islam memang amat menggalakkan umatnya berniaga. Di dalam sebuah hadith, Nabi s.a.w bersabda:

“Sembilan persepuluh dari kehidupan (al ma’isyah) adalah di dalam perniagaan”

Datuk Seri Harussani bin Zakaria, iaitu Mufti Perak Darul Redzuan di dalam satu majlis anjuran Pan Phoenix Dina Sdn Bhd baru-baru ini menyatakan bahawa apa yang dimaksudkan di dalam hadith tersebut adalah amat luas skop perbincangannya. Beliau menyatakan bahawa sembilan persepuluh kehidupan adalah bergantung kepada perniagaan. Ini bermaksud bahawa tanpa adanya perniagaan, maka sudah pasti kehidupan manusia akan lumpuh kerana segala yang kita perolehi hari ini ini termasuk makanan, pakaian, kenderaan, tempat tinggal dan segala bentuk perkhidmatan adalah berasaskan kepada perniagaan.

Berdasarkan kepada fakta yang disebut di atas, amat jelas bahawa perniagaan adalah satu punca rezeki yang menawarkan keuntungan yang amat lumayan kepada mereka yang menyertainya. Juga amat jelas kepada kita bahawa mereka yang kaya raya majoritinya adalah mereka yang terlibat dengan perniagaan.

Namun kita tidak seharusnya terlalu ghairah mengejar keuntungan dan kemewahan tanpa mengambil kira kebajikan dan kepentingan masyarakat kerana kekayaan dari sudut Islam perlu dikongsi bersama secara Adil. Ini tidak bermaksud bahawa pihak yang berniaga perlu memperuntukkan peratusan tertentu untuk dibahagi-bahagaikan kepada orang ramai. Apa yang perlu dilakukan ialah penerapan nilai-nilai keadilan di dalam perniagaan. Sebagai contoh, para peniaga perlu mengambil kira kepentingan masyarakat di dalam menetapkan peratusan keuntungan yang patut mereka perolehi di dalam satu-satu perniagaan yang diceburi. Mereka juga perlu mengelakkan diri dari mengambil kesempatan dari kesempitan orang ramai dengan mengambil untung secara melampau dan tidak munasabah.

Di dalam sistem perbankan pula, keadilan juga perlu diwujudkan. Meskipun umum mengetahui bahawa pihak perbankan tidak kira samada yang konvensional mahupun yang berlabelkan Islam, bukanlah sebuah organisasi kebajikan atau welfare kerana pihak institusi kewangan ini tidak mungkin akan membantu mereka yang susah dan memerlukan jika mereka tidak dapat membuktikan kemampuan membayar balik pinjaman yang diperolehi. Namun, mereka seharusnya lebih peka dan ‘sedar diri’ bahawa keuntungan yang mereka perolehi adalah hasil dari wang yang dijana dari simpanan atau pelaburan yang dibuat oleh orang ramai.
Jika sesetengah institusi perbankan contohnya mengaut keuntungan sehingga berbillion ringgit pada setiap tahun dan mampu memiliki menara mencakar langit sendiri, adilkah jika para pelabur dan penyimpan yang memainkan peranan yang amat besar di dalam perkembangan perniagaan mereka hanya diberi keuntungan dalam jumlah yang terlalu kecil dan tidak masuk akal?

Pemberian keuntungan yang hanya sekitar 5% setahun kecuali Bank Rakyat yang menawarkan keuntungan sehingga mencecah 15% setahun adalah terlalu kecil jika dibandingkan dengan laba yang diperolehi oleh pihak institusi perbankan. Pemberian keuntungan yang tidak adil adalah satu bentuk ekspoitasi dan satu kezaliman yang patut diperangi. Kezaliman di dalam sistem perbankan yang selama ini mendominasi masyarakat perlu disekat. Satu sistem perbankan yang lebih adil perlu diwujudkan dan pihak Bank Negara Malaysia perlu memainkan peranan yang lebih aktif di dalam membela nasih rakyat bukan hanya melindungi sistem perbankan yang hanya ingin mengaut keuntungan semata-mata.

Pihak institusi kewangan Islam tidak seharusnya hanya melihat dari satu sudut yang sempit dari prinsip kewangan Islam. Memang tidak dinafikan bahawa mengelakkan diri dari terjebak dalam perbankan ribawi adalah satu tuntutan asas di dalam perbankan Islam, namun prinsip-prinsip lain tidak seharusnya dipinggirkan. Keadilan di dalam pembahagian keuntungan juga adalah satu tuntutan yang perlu dipenuhi oleh pihak perbankan Islam bagi memastikan bahawa sistem perbankn Islam benar-benar ‘Islamic’ dan boleh diterima pakai selari dengan konsep keadilan yang sebenar. Tidak cukup hanya mengenepikan riba di dalam sistem perbankan Islam bagi menjadikan satu-satu sistem itu Islam bahkan mengaplikasi semua konsep-konsep asas Islam di dalam perbankan patut juga diberi perhatian.

Masyarakat telah lama menanggung penderitaan dari kezaliman sistem perbankan yang wujud walaupun di atas tiket perbankan Islam. Hasilnya, masyarakat terus hidup dalam keadaan tertekan. Wang simpanan yang disimpan di dalam institusi kewangan tidak mampu menjana pendapatan yang berpatutan apa lagi untuk mengubah nasib dan taraf kehidupan mereka dan akhirnya wang simpanan habis dibelanjakan.

Akibat dari ketamakan institusi kewanganlah, maka wujudnya pelbagai skim yang ditawarkan sebagai alternatif kepada sistem kewangan dan perbankan yang sedia ada yang menawarkan perkongsian keuntungan yang jauh lebih baik dan adil berbanding apa yang ditawarkan oleh institusi kewangan yang tamak haloba.

Namun berbagai sekatan dikenakan oleh pihak berwajib bagi menyekat perkembangan skim-skim tersebut dari terus berkembang kerana dilihat sebagai ancaman kepada institusi kewangan yang telah sedia wujud. Memang tidak dinafikan bahawa terdapat segelintir manusia rakus yang mengambil kesempatan menipu dan memperdayakan rakyat dengan pelbagai skim cepat kaya yang mengaut keuntungan jutaan ringgit dari kesengsaraan orang ramai yang diperdaya, namun terdapat juga pihak-pihak yang ikhlas yang ingin mengeluarkan masyarakat dari belenggu kezaliman dan sebahagiannya telah terbukti berjaya mengubah taraf ekonomi dan kehidupan rakyat. Namun oleh kerana sistem perbankan dan pelaburan dikawal oleh sistem konvensional, mereka yang ikhlas juga turut terkena tempiasnya. Akhirnya tidak ada pihak yang bangun membela nasib rakyat yang teraniaya. Mereka yang kaya terus kaya manakala yang miskin terus merana.

Pihak berwajib perlu memikirkan satu kaedah yang lebih fleksibel bagi membantu pihak yang ikhlas menyediakan platform untuk rakyat menjana pendapatan yang lebih baik. Pihak kerajaan tentunya tidak akan mampu membantu rakyat melalui subsidi dan seumpamanya. Forum-forum dan perbincangan haruslah dibuka seluasnya tanpa sebarang prejudis bagi membela rakyat yang teraniaya di bawah sistem ekonomi dan kewangan yang diimpot dari penjajajah.
Sudah lebih 5 dekad Negara kita Malaysia mencapai kemerdekaan namun masyarakat masih dijajah melalui sistem yang tidak adil dan berat sebelah. Langkah drastic perlu diambil segera sebelum keadaan menjadi lebih parah.
· Penulis adalah bekas Penolong Profesor, Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan bekas Pensyarah Jabatan Syariah, Universiti Brunei Darussalam. Beliau juga pernah menjadi kolumnis Utusan Malaysia di dalam kolum “BICARA SYARIAH’

No comments: